Selasa, 07 November 2017

Melayu Patani

Di Thailand,  kebanyakan orang Melayu tertumpu di provinsi-provinsi Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhladan Satun.

Pada asalnya, Narathiwat, bersama dengan Yala adalah sebahagian daripada kerajaan Melayu Patani yang merdeka. 

Sebelum itu Patani dikenali sebagai Langkasuka. Kemudian jatuh ke tangan Siam dan berada di bawah kerajaan Sukhothai dan kemudiannya Ayuthaya. Setelah kejatuhan Ayutthaya pada tahun 1767, Patani menjadi merdeka semula tetapi kembali kepada Thai sewaktu pemerintahan Raja Rama I. Pada 1909, Thai menakluki Patani akibat perjanjian yang dimeteraikan dengan kekuasaan British atau
Inggeris. Narathiwat dan Yala ditadbirkan secara berasingan. Di Yala terdapat sebuah pergerakan pemisah Pataniyang kembali aktif pada 2004 setelah lama berdiam diri.

Songkhla dahulunya dikenali sebagai  Singgora.
Sehingga 1813, Satun merupakan sebuah mukim negeri Kedah Darul Aman di Malaya, dikenali sebagai Mukim Setul. Akibat perjanjian British dengan Siam pada 1909, British menyerahkan Setul kepada Siam.

Kerajaan Patani (كراجاءن ڤتاني) merupakan sebuah kerajaan awal di Tanah Melayu yang merangkumi wilayah Pattani (Patani), Yala (Jala), Narathiwat (Menara) dan Songkhla (Singgora) kini.

Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi mangsa dasar imperialistik kerajaan Siam. Mengikut  Hikayat Patani pemerintahan Kerajaan Patani diperintah oleh 3 dinasti.
Dinasti Sri Wangsa, dikenali juga sebagai Dinasti Ulu. Raja Perempuan Pattani, Raja Ungu Binti Sultan Bahadur Shah telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur mengukuhkan hubungan Patani dengan Pahang serta kekuasaan Johor , dan beberapa kali serangan Siam berjaya dipatahkan dengan bantuan Johor. Setelah Raja Ungu mangkat, Raja Kuning iaitu puterinya hasil perkahwinan dengan Sultan Abdul Ghafur Pahang menaiki takhta Patani.Dinasti Kelantan pertama yang diasaskan pada tahun 1650 oleh Raja Sakti yang memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke Patani.

Dinasti Kelantan kedua yang diasaskan pada tahun 1838 oleh Raja Kampung Laut Long Muhammad bin Raja Muda Kelantan Long Ismail, dikenali juga sebagai Tuan Besar/Paduka Seri Sultan Phaya Long Muhammad (Al-Marhum Tanjung) .

Zaman kegemilangan Kesultanan Patani ialah dari tahun 1584 hingga 1649 iaitu semasa Patani dibawah pemerintahan raja perempuan/sultanah yang dikenali sebagai Raja-raja Pelangi sempena warna-warna Benang Raja  (pelangi) :

Raja Hijau (1584-1616)
Raja Biru (1616-1624)
Raja Ungu (1624-1635)
Raja Kuning (1635-1649). 

Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki  bernama Tok Kayan untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan.

Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai ukuran yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal.Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.
Pada tahun 1631, Patani pernah menghantar bala tentera ke Ligor (Nakhon Si Thammarat) untuk membebaskan wilayah itu dari cengkaman Siam, dua buah kapal Siam berjaya dirampas dengan 2 orang Belanda. Kemudian angkatan Siam bejaya merampas kembali Ligor dari tangan Patani, tetapi 2 orang Belanda masih hilang, menyebabkan Belanda memihak kepada Siam dalam peperangan menentang Patani. Diantara serangan Siam yang terbesar ke atas Patani berlaku pada Mei 1634, dimana 60,000 bala tentera Siam melanggar Patani, tetapi angkatan Siam ini mengalami kekalahan akibat serangan kuat dari gabungan bala tentera Patani dan Portugis.

Untuk menguatkan lagi kerajaan Patani, Kerajaan Patani telah bersekutu dengan  Johor-Pahang-Riau-Lingga apabila Raja Ungu yang memakai gelaran Paduka Sultanah Syah Alam telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur dan hasil perkahwinan ini, lahirlah seorang puteri bernama Raja Kuning yang menaiki takhta Patani setelah kemangkatan bondanya pada tahun 1635. Empayar Johor-Pahang telah beberapa kali menghantar bantuan ketenteraan untuk mematahkan serangan-serangan Siam, hasilnya Patani kekal sebagai kerajaan berdaulat hingga ke akhir abad ke 18.

Pada pertengahan kurun ke 17, Raja Kuning yang memerintah Patani telah mangkat dan menjadikan negeri Patani huru-hara. Raja Sakti I dari Kelantan berjaya menyatukan Patani dan Kelantan di bawah pemerintahannya pada tahun 1649

Pemerintahan di Patani selepasnya dipimpin oleh puteranya, Raja Bakal yang memerintah dari tahun 1688-1690. Dua orang Raja Perempuan dari Kerajaan Jembal di Kelantan telah memerintah  Patani iaitu Raja Mas Kelantan (1670-1698) dan puterinya Raja Mas Cayam yang dikenali juga sebagai Raja Dewi Peracu (1698-1702).

Raja Mas Cayam inilah yang menabalkan anak Bendahara Johor iaitu Tun Zainal Abidin sebagai Sultan di sungai Terengganu, dalam usahanya pengukuhkan persahabatan dan persekutuan dengan Johor. Namun Johor juga mengalami kemerosotan dan tidak mampu melindungi dan menghantar bantuan tentera ke Patani lagi karena persengketaan di kalangan pembesar Melayu dan Yamtuan Muda Riau (pihak Bugis) pada akhir abad ke 17 dan pada abad ke 18. Siam menyerang Patani pada tahun 1785 dan Kedah pada 1821, dan kedua-dua negeri ini berjaya ditakluki Siam. Berikut ialah kronologi ringkas penaklukan Siam keatas Patani dan Kedah:

1760: Kebangkitan kuasa Burma di bawah dinasti Konbaung, Burma menakluk Siam pada 1767 dan Laos 1765.

1768: Siam dibawah pimpinan general Taksin berjaya menghalau penjajah Burma.

1769: Untuk mengukuhkan kuasanya di selatan Siam menakluk Ligor/Negara Sri Darmaraja(Nakhon Si Thammarat). Armada angkatan laut dibina di Nakhon Si Thammarat, Trang dan Krabi untuk menakluk wilayah selatan di semenanjung Tanah Melayu.

1782: Raja Buddha Yodfa Chulaloke atau Rama I menaiki takhta Siam menggantikan Raja Taksin yang digulingkan, dinasti Rattanakosin yang berpusat di Bangkok diasaskan.

1785: Di bawah pemerintahan Raja Rama I, Siam menyerang dan berusaha menakluki Patani. Kelantan dan Terengganu menjadi wilayah yang berdamai kepada Siam (tributary states) dan menghantar bunga emas ke Siam.

1789-1791: Pemberontakan di Patani. Patani dipecahkan kepada tujuh wilayah: Patani, Saiburi (Teluban), Nongchik, Yaring, Yala, Reman dan Rangae untuk melemahkan Puak Melayu.

1821: Kedah dilemahkan Siam, Siam juga mengancam menyerang Perak dan Selangor, Sultan Kedah  dilarang tinggal di Perak dan Selangor kerana Siam mengangap negeri-negeri ini dibawah kekuasaannya. Sultan Kedah hijrah ke Melaka untuk melancarkan serangan gerilya dari sana.

1832: Reman (dekat sempadan Thailand-Perak, juga merangkumi Grik dan Pengkalan Hulu), mengisytiharkan menjadi republik. Wilayah lain, kecuali Yaring, ikut memberontak.

1838: Pemerintah Nongchik, Yala, Remandan Rangae bekerjasama dengan pemberontak Kedah dan menyerang Songkhla.

1839: Kedah dipecahkan kepada empat kawasan: Kedah, Kubangpasu, Perlis dan Satun (Setul). Pemecahan Pattani dan Kedah melemahkan kedua-dua negeri itu.

Pada tahun 1835 berlaku pergolakan merebut takhta Kelantan, Raja Kampung Laut yang dikenali sebagai Tuan Besar Bin Raja Muda Ismail yang kalah kepada Sultan Muhammad II dalam perebutan takhta Kelantan telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor bergelar raja (Phraya Patani) di negeri kecil Patani yang telah dipecahkan. Salah seorang anak Raja Bendahara Long Jenal yang kalah dalam perebutan takhta itu juga dilantik oleh Siam sebagai raja di Yaring salah satu negeri kecil di Patani.
Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan kekuasaannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam memakai cara licik dengan melaksanakan dasar Thesaphiban. Phraya Patani ke-V iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah Ibni Sultan Sulaiman Syarafuddin Syah memberontak tetapi berjaya dikalahkan dan dibuang negeri ke Kelantan.

Dengan cara itu, sistem pemerintahan Kesultanan Melayu diusahakan dihapus. Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Patani telah diakui sepihak oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani hingga kini.
Semenjak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di wilayah Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan licik.

Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Pibul Songgram (1939-44) coba mengasimilasikan Puak Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepang telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. 

Tengku Mahmud Mahyuddin Bin Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera raja Melayu Patani, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa Inggeris di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Rencana Tengku Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti.

Harapan itu semakin cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.

Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisi kepada Kerajaan Inggris, agar empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun belum membuahkan hasil terhadap kejayaan Melayu.

Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan wafatnya Tengku Mahmud Mahyuddin dan Haji Sulong pada tahun 1954. Walau setelah itu hingga kini,  muncul upaya upaya agar Melayu Patani mampu merdeka dari Thailand atau bergabung ke Malaysia. 


Tidak ada komentar: